Terdapat beberapa dalil yang merujuk kepada kewajiban membayar zakat perniagaan. Antaranya termasuk seperti yang berikut.
Firman Allah SWT:
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” [Surah Al-Nur (24): 37]
Firman ini jelas menunjukkan bahawa orang yang beriman tidak akan lalai daripada membayar sebahagian daripada hasil keuntungan perniagaan atau aktiviti jual beli yang menjadi rezeki kita.
Sementara itu, terdapat juga hadith Nabi yang menyentuh perkara ini.
Salah satunya, Samurah bin Jundub menyatakan: “Sesungguhnya Rasulullah memerintahkan kami untuk mengeluarkan sedekah (zakat) daripada apa yang kami persiapkan untuk diperniagakan.” (Hadis riwayat Abu Daud).
Hadith ini ternyata merujuk kepada zakat perniagaan serta aktiviti perniagaan.
Anas RA meriwayatkan bahawa Abu Bakar RA menetapkan baginya apa yang difardhukan oleh Rasulullah SAW:
“Dan jika sesuatu harta berkongsi bercampur oleh dua orang, maka keduanya saling mengeluarkan zakat dengan adil (sesuai dengan kadar atau bahagian masing-masing)”.[HR Bukhari]
Hadith di atas bukan sahaja menunjukkan akan kewajiban membayar zakat, malahan boleh dijadikan rujukan untuk peniaga yang mempunyai rakan kongsi bukan Islam. Ternyata, kadar zakat perniagaan yang dibayar adalah bergantung kepada bahagian masing-masing, serta kemampuan masing-masing.